Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Sumbangan Intelektual Islam Dalam Seni Bina Tamadun Islam

http://www.scribd.com/doc/116751155/Sumbangan-Intelektual-Islam-Dalam-Seni-Bina-Tamadun-Islam

Artikel yang dikarang oleh Zulkifli Hasan dan Hanani Harun membincangkan tentang sumbangan para ilmuawan Islam terhadap perkembangan seni muzik, seni bina, seni khat dan seni sastera. tetapi kita hanya akan fokus sumbangan seni bina tamadun Islam dengan mengetengahkan tokoh-tokoh tersebut.

       Seni bina merupakan di antara bentuk-bentuk seni yang terdapat pada sesuatu tamadun. pencapaian dan pembangunan seni bina telah bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w dengan pembinaan masjid Quba' dan masjid Nabawi. Pada zaman pemerintahan Khulafa' al-Rasyidin, terutamanya zaman khalifah Umar al-Khattab, perkembangan seni bina di anggap paling berjaya kerana beliau amat menitikberatkan tentang pembaharuan dalam pelbagai bidang khususnya pembinaan masjid.

       Pada zaman kerajaan Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah, khalifah-khalifah yang memerintah banyak memberi sumbangan penting dalam pencapaian seni bina Islam. Antaranya ialah:

1) Khalifah al-Walid
2) Khalid bin Abdullah al-Qasiri
3) Khalifah Abdul Rahman II
4) Khalifah Abu Ja;far al-Mansur
5) Khalifah al-Mahdi
6) Khalifah al-Ma'mun
7) Ibrahim al-Farazi
8) Sultan Malik Syah

    Ramai pencinta seni dari Barat mempelajari dan mengkaji hasil seni ilmuwan Islam dan seterusnya menggunakan pengetahuan itu untuk menjadi teras kebangkitan ketamadunan mereka. bahkan pembangunan ilmu dalam dunia Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada zaman Renaissance atau pembaharuan di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang.

Sinan: Tokoh Arkitek Genius Dawlah Uthmaniyyah



Artikel jurnal ini membincangkan tentang sorang tokoh seni bina Islam pada zaman pemerintahan Dawlah Uthmaniyyah iaitu Sinan. beliau adalah Chief Imperial Architect Dawlah Uthmaniyyah di bawah pemerintahan tiga orang sultan; sultan Sulayman al-Qanuni, Salim II (1566-1574M) dan Murad III (1574-1595). Beliau dikenali atau digelar sebagai Qujah Mi'mar Sinan (Sinan, The Grand Old Master Architect) dan digelar Micheal Angelo of the Turks oleh pihak Barat.

          Nama sebenar beliau ialah Sinanuddin Yusuf bin Abdullah. Beliau telah dilahirkan di kampung Agirnes, berdekatan dengan Qaysariyyah di Anatolia pada 15 April 1489. Ibu bapanya berketurunan Yunani Kristian atau Armenia. beliau merupakan seorang tukang kayu atau bina. Sinan juga mempunyai anak murid sendiri seperti Daud Aga, Ahmad Aga, Kamal al-Din, Yatim Baba Ali dan Yusuf. Beliau meninggal dunia pada 17 Julai 1578 ketika usianya hampir 100 tahun.

              Pendidikan terawal Sinan adalah menerusi penyertaannya dalam The School of The Acemi Oglanlar (kadet) di Istanbul, kemudian berkhidmat sebagai jurutera tentera janissary dalam ekspedisi Belgrade (1521M) dan ekspedisi Rhodes (1522M). Melalui keberanian yang ditonjolkan dalam kedua ekspedisi ini, beliau dianugerahkan jawatan sebagai zenberekdji bashi (chief firework-operator) atau ketua operasi kejuruteraan. Antara peperangan atau ekspedisi ketenteraan lain yang disertai beliau ialah Mohacs (1526M), Jerman (1529M), Baghdad dan Basrah (1534M).

             Sepanjang penglibatan beliau dalam seni bina Islam, sebanyak 477 buah monumen telah dibina di seluruh empayar Uthmaniyah. 336 buah monumen dibina di Istanbul dan kawasan sekitarnya. 141 buah monumen bertaburan di seluruh pelosok empayar termasuklan Greece, Bulgaria, Hungary, Makkah, Madinah, Jerusalem, Damsyiq, Aleppo, Basrah dan Baghdad. 

Monumen-monumen tersebut dibine berdasarkan kategori-kategori seperti berikut:

- masjid jami' (cami)
- masjid  (mescit)
- sekolah (medrese)
- kolej menengah dan rendah
- ma'ahad tahfiz (darul qura)
- istana (saray)
- makam dan batu nisan; kawasan perkuburan sultan (turbe, kumbed)
- hospital (dar us-syifa', timarhane)
- saluran air (sukemeri)
- jambatan (koprii)
- restoran (imaret)
- gudang (han)
- rumah rehat (caravanserais, tabhane)
- tempat permandian awam (hammam)

Binaan pertama yang didirikan Sinan ialah pembinaan jambatan untuk Coban Mustafa Pasha (1528-1529M) di Svilengrad, Bulgaria. Masjid pertama yang dibina beliau ialah  Uc Baz Mescit (1530-1531M) di Istanbul. Menurut O'Kane, terdapat tiga projek mega Sinan iaitu masjid sehzade; diklasifikasikan sebagai hasil kerja seorang perantis. Kedua ialah masjid Suleyman; hasil unik seorang penjelajah yang mencapai tahap kematangan. Ketiga, masjid Selimiye; hasil seni bina agung oleh seorang arkitek genius. Sinan sememangnya mempunyai kepakaran dalam konsep the Organisation of space and dome construction.

MASJID SULAIMAN 

Süleymaniye Camii (Suleiman Mosque), Istanbul
General view of the interior, filled with light

Süleymaniye Camii (Suleiman Mosque), Istanbul
The breathtaking interior of Suleiman Mosque
Süleymaniye Camii (Suleiman Mosque), Istanbul
Exterior view of Suleimaniye Mosque


MASJID SEHZADE








MASJID SELIMIYE







         Kesimpulannya, seni bina Uthmaniyyah mencapai tahap kematanganya apabila Sinan berjaya membina monumen 'empayar' yang dianggap sebagai masterpiecenya yang terakhir iaitu masjid Selimiye. Ramai arkitek Uthmaniyyah selepasnya mengadaptasi gaya Sinan dalam rekaan monumen mereka. Ketokohan Sinan terserlah melalui kemampuannya menyiapkan keseluruhan projek monumen dawlah dalam masa yang begitu singkat.







Faktor Pembangunan & Kemunduran Pengajian Sains Islam Silam

http://www.scribd.com/doc/116217542/Faktor-Pembangunan-Kemunduran-Pengajian-Sains-Islam-Silam

Artikel yang dikarang oleh Alias bin Azhar membincangkan tentang hubungan Islam dengan sains dan teknologi pada masa silam (tamadun Islam), kepentingan pengajian sains Islam kini dan faktor-faktor pembangunan dan kemunduran pengajian sains Islam silam. secara falsafahnya sains Islam telah wujud seiring dengan penciptaan manusia pertama iaitu nabi Adam a.s iaitu sebelum al-Quran diturunkan.

     Al-Quran dan as-Sunnah merupakan penggerak dan pencetus serta pendorong terawal umat Islam agar memperkembangkan ilmu budaya Islam dalam pelbagai bidang. Ia juga berperanan dalam memotivasikan umat Islam agar berusaha meneroka dan membongkarkan berbagai lapangan keilmuan yang merangkumi ilmu berteraskan akal, sains tabii dan sains berbentuk teknikal yang pada peringkat awal perkembangannya adalah melalui terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa arab. 

      Saya memetik Firman Allah ta'ala dalam al-Quran yang banyak menyebut : "tidakkah kau berfikir?, rugilah bagi mereka yang tidak berfikir dan sebagainya. Afala tatafakkaru.. dari sudut penciptaan manusia itu juga sudah wujudnya pengajian sains islam ditambah dengan panduan Allah dari kalam-Nya al-quran menjadi satu sumber primer bahawa sains dan teknologi bukanlah suatu bidang yang asing dari agama, bahkan wujudnya keserasian dan kesesuaian yang jitu antara agama Islam dan perkembangan sains itu sendiri.

        Selain itu, timbul pandangan dari Orientalis Barat yang cuba menolak dan menjatuhkan saintis umat Islam iaitu, bahawa kewujudan sains dan teknologi dalam tamadun Islam tidak akan pernah berlaku melainkan ianya berpunca dari tamadun Yunani. Fakta sejarah sains Islam tidak menafikan berlakunya pertembungan antara islam dan yunani, iaitu penghijrahan ilmu yunani ke timur. Namun sains yunani telah disaring dan disuling agar sesuai dengan roh Islam. Faktor pembangunan sains juga berpunca dari faktor kesejagatan sains tabii dalam semua tamadun.

       Pengajian sains dalam budaya ilmu Islam berkembang pesat melalui proses penginstitusiannya secara rasmi dan sistematik. Ia bermula daripada rumah persendirian (Dar al-Arqam), berpindah ke masjid, dikhususkan bidang pembelajarannya kepada maktab dan seterusnya madrasah. Sokongan dan dorongan serta naungan politik pemerintah juga memainkan peranan penting dalam usaha menginstitusikan ilmu dan pembentukan budaya ilmu yang cemerlang. Fenomena ini diperkukuhkan lagi dengan menubuhkan perpustakaan sendirian dan awam yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan, penyelenggaraan bahan rujukan serta tempat diskusi para sarjana dan saintis Islam.

         Walaubagaimanapun, tamadun Islam menghadapi kemunduran pengajian sains Islam setelah kejatuhan pemerintahan Islam di Andalus yang merupakan pusat utama budaya intelektual Islam kepada tangan pihak Barat iaitu kristian. Faktor ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu dalaman dan luaran. Faktor dalaman ialah:

1) Pandangan yang mengatakan bahawa falsafah dan sains boleh menghilangkan keimanan kepada khaliq sebagai punca segala sesuatu.
2) Halangan intelektual; pengasingan antara ilmu Islam dengan ilmu asing (kejuruteraan, perubatan dan sebagainya)
3) Sikap apati (tidak minat) yang meresapi jiwa dan pemikiran umat Islam memberi impak kepada pengasingan sains daripada kurikulum pengajian Islam.
4) Sikap dan pemikiran dalam kalangan sarjana Islam
5) Umat Islam gagal bersikap moden dan terbuka terhadap aplikasi sains dan teknologi untuk    mempertingkatkan taraf kehidupan masyarakat Islam.

Faktor berbentuk luaran pula ialah:

1) Serangan perang salib terhadap kerajaan pemerintahan islam di andalus
2) Kemelesetan ekonomi islam; dana dan tajaan pendidikan serta penyelidikan terpaksa dihentikan
3) Perang saraf atau serangan secara mental (pemikiran) yang berbentuk kritikan dan penafian serta penyelewangan intelektual secara profesional.

          Kesimpulannya, sains Islam mempunyai entiti yang berbeza daripada sains yang diaplikasikan pada hari ini. sains Islam memiliki keistimewaan yang tersendiri. Maka wajar dan rasionalnya gerakan Islamisasi sains berasaskan perkembangan sains moden yang telah diresapi sekularisme tajaan Barat. Pengajaran daripada sejarah mengenai kemundurannya dapat dijadikan garis panduan asas ke arah memulakan sesuatu yang positif. Kecemerlangan silam bukan sekadar kenangan yang membanggakan tetapi sebagai pencetus motivasi ke arah mereliasasikan visi dan isi "khayra ummah" dalam seluruh aspek tuntutan kehidupan masa kini.

















Relevansi Faktor Kegemilangan Sains Islam Dengan Dunia Islam Masa Kini; Roziah Sidik @ Mat Sidek


http://umrefjournal.um.edu.my/filebank/published_article/3662/01%2001-13.pdf

Artikel yang dikarang oleh Ustazah Roziah Sidik @ Mat Sidek tentang faktor-faktor yang membawa kepada kegemilangan sains dalam tamadun Islam suatu masa dahulu. pengarang juga cuba untuk melontarkan pandangan atau usaha kritis dari sudut kerelevansian faktor-faktor tersebut dengan dunia Islam masa kini. Adakah faktor yang sama ini jika dilakukan akan mampu mengembalikan semula kegemilangan sains dalam tamadun Islam. Antara faktor-faktor yang cuba diketengahkan oleh penulis ialah :

1) Sikap Islam yang menggalakkan Intelektualisme
2) Pertembungan antara tamadun Islam dengan tamadun purba di Timur Tengah
3) Sikap positif pemerintah
4) Peranan Orang Perseorangan
5) Polisi Sains Negara
6) Kolaborasi antara Muslim dengan Non-Muslim

Penulis percaya sikap umat Islam itu sendiri yang menjadi sebab musabab kenapa sikap Islam terhadap intelektualisme gagal memacu sains dalam tamadun Islam ke puncak kegemilangan buat kesekian kali.  penulis berpendapat perlunya diwujudkan polisi sains negara di dunia-dunia Islam. Dasar ini pula perlu menggariskan dengan jelas misi dan matlamat untuk meningkatkan bidang sains yang selari dengan prinsip Islam.

Selain itu, faktor kolaborasi antara Muslim dengan Non-Muslim juga bukanlah suatu penghalang untuk berkongsi dan mengembangkan ilmu sains itu. Ia masih relevan jika diaplikasikan juga pada masa kini dengan  mengamalkan sikap toleran antara para sarjana yang memungkinkan berlakunya pertukaran idea dan penerimaan bakat asing yang pasti dapat membawa kepada kegemilangan sains dalam tamadun Islam. perlunya juga usaha sama antara orang perseorangan dan pemerintah agar hasrat untuk menaikkan semula sains dan teknologi dalam tamadun Islam dapat berkembang dan selaras dengan roh Islam. Penulis mengharapkan ukesedaran dan saha padu dari seluruh umat Islam untuk pergiatkan aktiviti sedemikian.

Dari sudut pandangan admin blog, salah satu kurangnya kesedaran dari kalangan umat Islam dan sukarnya untuk mempraktikkan ilmu bidang sains teknologi agar selari dengan roh Islam adalah kerana sistem pendidikan yang sekular. Admin pernah bertanya kepada seorang sahabat dari kalangan mahasiswa mengenai isu ini, beliau mengatakan :

"............. kami jarang didedahkan sangat dengan sains Islam, pensyarah tidak terbuka dalam memberi pendedahan sebegitu. Namun, di fakulti kami wujudnya subjek sains Tauhidi yang dikendalikan oleh seorang pensyarah....."


Pendidikan sekular + cetek tentang sejarah kegemilangan sains dalam bidang sains teknologi, mungkin faktor utama berlakunya kemunduran dalam pengajian sains Islam pada masa kini.






Al-Khindi pakar pelbagai bidang sains


ISHAK AL-KHINDI

SEORANG lagi saintis Islam yang tersohor ialah Abu Yousuf Yaqub Ibn. Ishak al-Khindi.Al-Khindi dilahirkan di Kufa sekitar tahun 800 Masehi. Beliau sebenarnya seorang yang mempunyai kepakaran dalam banyak bidang meliputi falsafah, matematik, perubatan, astronomi, fizik, ahli geografi dan juga muzik.

Bagaimanapun, beliau lebih dikenali kerana hasil kerjanya dalam bidang falsafah. Dalam bidang Matematik, beliau menulis empat buah buku mengenai sistem nombor. Malah beliau juga meletakkan asas terhadap sebahagian besar dalam bidang arithmetik moden.
Walaupun tidak dinafikan al-Khawarizmi memberikan sumbangan yang besar terhadap sistem nombor Arab, al-Khindi juga sebenarnya memberikan sumbangan yang bermakna.

Al-Khindi turut memberikan sumbangan terhadap bidang geometri sfera untuk membantunya dalam bidang pengajian astronomi.
Dalam bidang kimia, beliau mencadangkan idea bahawa logam asas boleh ditukarkan menjadi logam yang berharga.

Sementara itu, dalam bidang fizik pula, beliau memberikan sumbangan yang besar dan menulis buku dalam bidang optik geometrikal.Buku tulisannya menjadi panduan dan inspirasi kepada saintis-saintis terkemuka.
Dalam bidang perubatan, beliau merupakan orang pertama yang berjaya menentukan secara sistematik dos untuk menghasilkan ubat. Dalam bidang muzik, sebenarnya tidak banyak yang diketahui mengenai sumbangan al-Khindi.

Bagaimanapun al-Khindi pernah mengemukakan beberapa nota muzik yang diadunkan untuk menghasilkan muzik yang harmoni. Al-Khindi juga sebenarnya seorang penulis yang sangat produktif. Beliau menghasilkan 241 buah buku dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah:

+ Astronomi (16 buah)
+ Aritmetik (11 buah)
+ Geometri (32 buah)
+ Perubatan (22 buah)
+ Fizik (12 buah)
+ Falsafah (22 buah)
+ Logik (sembilan buah)
+ Psikologi (5 buah)
+ Muzik (tujuh buah)

Selain itu, al-Khindi juga menghasilkan tulisan dalam bentuk monograf meliputi bidang astronomi, batu-batan, batu-batu berharga dan sebagainya. Kepelbagaian ilmu yang dimiliki al-Khindi juga meliputi bidang terjemahan. Beliau adalah antara penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Greek ke dalam bahasa Arab.

Malangnya, kebanyakan hasil karya al-Khindi tidak dapat diperolehi lagi kini. Bagaimanapun, buku-buku dan juga hasil tulisannya yang masih ada sehingga kini menunjukkan sumbangannya yang begitu bermutu. Dalam bahasa Latin, al-Khindi dikenali sebagai Alkindus. Banyak buku-buku al-Khindi diterjemahkan ke dalam bahasa latin oleh Gherard of Cremona. Antara buku-buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin termasuklah Risalah dar Tanjim, Ikhtiyarat al-Ayyam, Ilahyat-e-Aristu, al-Mosiqa, Mad-o-Jazr dan Aduiyah Murakkaba.

Sebenarnya sumbangan dan pengaruh al-Khindi dalam perkembangan sains dan falsafah sungguh bermakna dalam menghidupkan dunia sains ketika zaman itu. Pada zaman pertengahan, salah seorang pemimpin, Cardano menganggap al-Khindi sebagai salah seorang daripada 12 orang yang mempunyai pemikir yang terhebat. Hasil-hasil kerja al-Khindi banyak membuka jalan kepada perkembangan pelbagai subjek dalam abad yang mendatang seperti matematik, perubatan dan muzik.

ULASAN ADMIN:

Artikel ini menceritakan tentang seorang tokoh ilmuwan Islam iaitu al-khindi. Nama sebenar beliau ialah Abu Yousuf Yaqub Ibn. Ishak al-Khindi.Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang matematik, perubatan, muzik, geometri, fizik dan sebagainya. Beliau juga merupakan penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Greek ke dalam bahasa Arab. 

Al-Zahrawi - Pakar pelbagai bidang perubatan


ABU AL-Qasim Al-Zahrawi yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masehi adalah seorang lagi saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas dalam bidang perubatan.

Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi bukan sekadar terhad dalam satu bidang sahaja iaitu surgeri yang menjadi keistimewaannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain.

Antaranya ialah pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan .

Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau telah dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu iaitu King Al-Hakam II.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 dikenali kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan terutamanya dalam bidang surgeri.

Seperkara lagi yang menyebabkan beliau terkenal ialah kerana ensiklopedia perubatan beliau yang di kenali Al-Tasrif.

Ensiklopedia ini mengandungi 30 volum pelbagai aspek sains perubatan.

Bagaimanapun daripada ensiklopedia ini, aspek yang paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buah buku mengenai surgeri.
Buku mengenai surgeri ini menerangkan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.
Antaranya termasuklah pengkauteran/lecuhan (cauterization), mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas binatang dan juga pembedahan mata, telinga dan kerongkong.
Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga amputasi (mengudungkan).

Ensiklopedia Al-Tasrif ini diterjemahkan pertama kalinya ke bahasa Latin oleh Gherard dan kemudiannya diikuti oleh beberapa orang editor lain di Eropah.

Buku ini mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dibangunkan oleh beliau sendiri.

Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.
Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang surgeri salah sama sekali.
Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan.
Tiga alat yang terkenal ciptaannya ialah:


  • alat pemeriksaan luar telinga

  • alat pemeriksaan luar theurethra

  • alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong.

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan di lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.
Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya.

Beliau juga menerangkan secara terperinci aplikasi beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).

Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.

Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian.
Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.

Dalam bidang perubatan beliau adalah orang pertama yang menerangkan secara terperinci mengenai penyakit pelik - hemofilia.

Melihat sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan terutamanya bidang surgeri serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.

Malah menurut penulis Sejarah Perubatan Arab - Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan ini sebenarnya melebih apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal Galen dalam kurikulum perubatan Eropah.

ULASAN ADMIN:

Az-Zahrawi merupakan tokoh perubatan Islam yang lahir pada zaman kegemilangan pemerintahan Bani Umayyah di Andalus. Beliau telah banyak memperkenalkan dan mencipta alat-alat pembedahan yang banyak membantu pakar doktor di zaman moden ini. Tiga alat yang terkenal ciptaannya ialah:

  • alat pemeriksaan luar telinga

  • alat pemeriksaan luar theurethra

  • alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong
Buku yang dihasilkan beliau ialah al-Tasrif, membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya.