Faktor Pembangunan & Kemunduran Pengajian Sains Islam Silam

http://www.scribd.com/doc/116217542/Faktor-Pembangunan-Kemunduran-Pengajian-Sains-Islam-Silam

Artikel yang dikarang oleh Alias bin Azhar membincangkan tentang hubungan Islam dengan sains dan teknologi pada masa silam (tamadun Islam), kepentingan pengajian sains Islam kini dan faktor-faktor pembangunan dan kemunduran pengajian sains Islam silam. secara falsafahnya sains Islam telah wujud seiring dengan penciptaan manusia pertama iaitu nabi Adam a.s iaitu sebelum al-Quran diturunkan.

     Al-Quran dan as-Sunnah merupakan penggerak dan pencetus serta pendorong terawal umat Islam agar memperkembangkan ilmu budaya Islam dalam pelbagai bidang. Ia juga berperanan dalam memotivasikan umat Islam agar berusaha meneroka dan membongkarkan berbagai lapangan keilmuan yang merangkumi ilmu berteraskan akal, sains tabii dan sains berbentuk teknikal yang pada peringkat awal perkembangannya adalah melalui terjemahan karya-karya asing ke dalam bahasa arab. 

      Saya memetik Firman Allah ta'ala dalam al-Quran yang banyak menyebut : "tidakkah kau berfikir?, rugilah bagi mereka yang tidak berfikir dan sebagainya. Afala tatafakkaru.. dari sudut penciptaan manusia itu juga sudah wujudnya pengajian sains islam ditambah dengan panduan Allah dari kalam-Nya al-quran menjadi satu sumber primer bahawa sains dan teknologi bukanlah suatu bidang yang asing dari agama, bahkan wujudnya keserasian dan kesesuaian yang jitu antara agama Islam dan perkembangan sains itu sendiri.

        Selain itu, timbul pandangan dari Orientalis Barat yang cuba menolak dan menjatuhkan saintis umat Islam iaitu, bahawa kewujudan sains dan teknologi dalam tamadun Islam tidak akan pernah berlaku melainkan ianya berpunca dari tamadun Yunani. Fakta sejarah sains Islam tidak menafikan berlakunya pertembungan antara islam dan yunani, iaitu penghijrahan ilmu yunani ke timur. Namun sains yunani telah disaring dan disuling agar sesuai dengan roh Islam. Faktor pembangunan sains juga berpunca dari faktor kesejagatan sains tabii dalam semua tamadun.

       Pengajian sains dalam budaya ilmu Islam berkembang pesat melalui proses penginstitusiannya secara rasmi dan sistematik. Ia bermula daripada rumah persendirian (Dar al-Arqam), berpindah ke masjid, dikhususkan bidang pembelajarannya kepada maktab dan seterusnya madrasah. Sokongan dan dorongan serta naungan politik pemerintah juga memainkan peranan penting dalam usaha menginstitusikan ilmu dan pembentukan budaya ilmu yang cemerlang. Fenomena ini diperkukuhkan lagi dengan menubuhkan perpustakaan sendirian dan awam yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan, penyelenggaraan bahan rujukan serta tempat diskusi para sarjana dan saintis Islam.

         Walaubagaimanapun, tamadun Islam menghadapi kemunduran pengajian sains Islam setelah kejatuhan pemerintahan Islam di Andalus yang merupakan pusat utama budaya intelektual Islam kepada tangan pihak Barat iaitu kristian. Faktor ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu dalaman dan luaran. Faktor dalaman ialah:

1) Pandangan yang mengatakan bahawa falsafah dan sains boleh menghilangkan keimanan kepada khaliq sebagai punca segala sesuatu.
2) Halangan intelektual; pengasingan antara ilmu Islam dengan ilmu asing (kejuruteraan, perubatan dan sebagainya)
3) Sikap apati (tidak minat) yang meresapi jiwa dan pemikiran umat Islam memberi impak kepada pengasingan sains daripada kurikulum pengajian Islam.
4) Sikap dan pemikiran dalam kalangan sarjana Islam
5) Umat Islam gagal bersikap moden dan terbuka terhadap aplikasi sains dan teknologi untuk    mempertingkatkan taraf kehidupan masyarakat Islam.

Faktor berbentuk luaran pula ialah:

1) Serangan perang salib terhadap kerajaan pemerintahan islam di andalus
2) Kemelesetan ekonomi islam; dana dan tajaan pendidikan serta penyelidikan terpaksa dihentikan
3) Perang saraf atau serangan secara mental (pemikiran) yang berbentuk kritikan dan penafian serta penyelewangan intelektual secara profesional.

          Kesimpulannya, sains Islam mempunyai entiti yang berbeza daripada sains yang diaplikasikan pada hari ini. sains Islam memiliki keistimewaan yang tersendiri. Maka wajar dan rasionalnya gerakan Islamisasi sains berasaskan perkembangan sains moden yang telah diresapi sekularisme tajaan Barat. Pengajaran daripada sejarah mengenai kemundurannya dapat dijadikan garis panduan asas ke arah memulakan sesuatu yang positif. Kecemerlangan silam bukan sekadar kenangan yang membanggakan tetapi sebagai pencetus motivasi ke arah mereliasasikan visi dan isi "khayra ummah" dalam seluruh aspek tuntutan kehidupan masa kini.

















0 comments:

Post a Comment