Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi adalah ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains dan teknologi membawa kemajuan, kemudahan, keselesaan, manakala Islam pula memimpin manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup didunia dan juga di akhirat.
Sains wujud dari perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. atas sebab inilah, maka Islam sangat menuntut umatnya untuk mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahuan.
Sebenarnya di dalam al-Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan maknanya yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab al-Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. jika tidak, mutiara al-Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.
Berdasarkan kepada hakikat inilah, maka umat Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian bersifat empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan sains Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah.
Ulasan Artikel
11 years ago
0 comments:
Post a Comment