Al-Khindi pakar pelbagai bidang sains


ISHAK AL-KHINDI

SEORANG lagi saintis Islam yang tersohor ialah Abu Yousuf Yaqub Ibn. Ishak al-Khindi.Al-Khindi dilahirkan di Kufa sekitar tahun 800 Masehi. Beliau sebenarnya seorang yang mempunyai kepakaran dalam banyak bidang meliputi falsafah, matematik, perubatan, astronomi, fizik, ahli geografi dan juga muzik.

Bagaimanapun, beliau lebih dikenali kerana hasil kerjanya dalam bidang falsafah. Dalam bidang Matematik, beliau menulis empat buah buku mengenai sistem nombor. Malah beliau juga meletakkan asas terhadap sebahagian besar dalam bidang arithmetik moden.
Walaupun tidak dinafikan al-Khawarizmi memberikan sumbangan yang besar terhadap sistem nombor Arab, al-Khindi juga sebenarnya memberikan sumbangan yang bermakna.

Al-Khindi turut memberikan sumbangan terhadap bidang geometri sfera untuk membantunya dalam bidang pengajian astronomi.
Dalam bidang kimia, beliau mencadangkan idea bahawa logam asas boleh ditukarkan menjadi logam yang berharga.

Sementara itu, dalam bidang fizik pula, beliau memberikan sumbangan yang besar dan menulis buku dalam bidang optik geometrikal.Buku tulisannya menjadi panduan dan inspirasi kepada saintis-saintis terkemuka.
Dalam bidang perubatan, beliau merupakan orang pertama yang berjaya menentukan secara sistematik dos untuk menghasilkan ubat. Dalam bidang muzik, sebenarnya tidak banyak yang diketahui mengenai sumbangan al-Khindi.

Bagaimanapun al-Khindi pernah mengemukakan beberapa nota muzik yang diadunkan untuk menghasilkan muzik yang harmoni. Al-Khindi juga sebenarnya seorang penulis yang sangat produktif. Beliau menghasilkan 241 buah buku dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah:

+ Astronomi (16 buah)
+ Aritmetik (11 buah)
+ Geometri (32 buah)
+ Perubatan (22 buah)
+ Fizik (12 buah)
+ Falsafah (22 buah)
+ Logik (sembilan buah)
+ Psikologi (5 buah)
+ Muzik (tujuh buah)

Selain itu, al-Khindi juga menghasilkan tulisan dalam bentuk monograf meliputi bidang astronomi, batu-batan, batu-batu berharga dan sebagainya. Kepelbagaian ilmu yang dimiliki al-Khindi juga meliputi bidang terjemahan. Beliau adalah antara penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Greek ke dalam bahasa Arab.

Malangnya, kebanyakan hasil karya al-Khindi tidak dapat diperolehi lagi kini. Bagaimanapun, buku-buku dan juga hasil tulisannya yang masih ada sehingga kini menunjukkan sumbangannya yang begitu bermutu. Dalam bahasa Latin, al-Khindi dikenali sebagai Alkindus. Banyak buku-buku al-Khindi diterjemahkan ke dalam bahasa latin oleh Gherard of Cremona. Antara buku-buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin termasuklah Risalah dar Tanjim, Ikhtiyarat al-Ayyam, Ilahyat-e-Aristu, al-Mosiqa, Mad-o-Jazr dan Aduiyah Murakkaba.

Sebenarnya sumbangan dan pengaruh al-Khindi dalam perkembangan sains dan falsafah sungguh bermakna dalam menghidupkan dunia sains ketika zaman itu. Pada zaman pertengahan, salah seorang pemimpin, Cardano menganggap al-Khindi sebagai salah seorang daripada 12 orang yang mempunyai pemikir yang terhebat. Hasil-hasil kerja al-Khindi banyak membuka jalan kepada perkembangan pelbagai subjek dalam abad yang mendatang seperti matematik, perubatan dan muzik.

ULASAN ADMIN:

Artikel ini menceritakan tentang seorang tokoh ilmuwan Islam iaitu al-khindi. Nama sebenar beliau ialah Abu Yousuf Yaqub Ibn. Ishak al-Khindi.Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang matematik, perubatan, muzik, geometri, fizik dan sebagainya. Beliau juga merupakan penterjemah awal yang terlibat dalam menterjemahkan hasil karya dalam bidang Greek ke dalam bahasa Arab. 

0 comments:

Post a Comment